Pengenalan kepada PSK  

Posted by -$H!M@:$H@M!Mi- in

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan mata pelajaran yang memainkan peranan penting dalam kurikulum kebangsaan sekolah menengah bagi melahirkan murid yang patriotik dan bertanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ialah mata pelajaran teras untuk semua murid sekolah menengah. Selaras dengan ini, pihak sekolah bertanggungjawab membina sahsiah dan potensi murid dengan pengetahuan kemahiran dan nilai yang perlu bagi murid untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab sivik dan kewarganegaraan.

Matlamat
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bertujuan memberi kesedaran kepada murid tentang peranan, hak dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat dan negara untuk melahirkan anggota masyarakat dan warganegara yang bersatu padu, patriotik dan boleh menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia.

Objektif
Objektif mata pelajaran ini merangkumi tiga aspek iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Objektif Pengetahuan:

· Mengenal pasti ciri-ciri peribadi yang boleh menyumbang terhadap pembangunan masyarakat dan negara.
· Menerangkan peranan dan tanggungjawab keluarga terhadap pembentukan masyarakat yang sejahtera.
· Memahami pelbagai agama, tradisi dan budaya masyarakat Malaysia untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu.
· Menjelaskan usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang progresif dinamik dan patriotik.
· Menghuraikan peranan dan tanggungjawab warganegara terhadap pembangunan negara.
· Mengetahui cara-cara menangani cabaran dan ancaman yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat dan negara.

Objektif Kemahiran:

· Mendisiplinkan diri dalam mencapai wawasan diri dan negara.
· Menjalankan tanggungjawab sebagai anggota keluarga untuk melahirkan keluarga yang bahagia.
· Berinteraksi dengan anggota masyarakat pelbagai kaum untuk mewujudkan perpaduan negara.
· Menangani konflik diri, keluarga dan masyarakat.
· Bekerjasama dengan anggota masyarakat untuk kebaikan bersama.
· Menyertai aktiviti pembangunan masyarakat dan negara.
· Mengambil tindakan wajar dalam menghadapi pelbagai situasi.

Objektif Nilai:

· Mempunyai wawasan untuk mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.
· Menghargai sumbangan keluarga dalam membentuk masyarakat yang mapan.
· Berbangga terhadap keunikan pelbagai budaya sebagai keistimewaan masyarakat Malaysia.
· Menghargai kepentingan alam sekitar dalam meningkatkan kualiti hidup.
· Bersikap prihatin terhadap anggota masyarakat yang memerlukan bantuan demi kesejahteraan bersama.
· Menunjukkan kesedaran sivik dan kewarganegaraan sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
· Cinta akan negara dan sanggup berkorban untuk negara.
· Menunjukkan semangat kekitaan dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian negara dan sejagat

This entry was posted on Friday, April 24, 2009 at 8:36 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment